GAMBARAN artis mengenai Taman Budaya Garuda Wisnu Kencana di Bukit Ungasan, Jimbaran, Bali.
INDONESIA begitu sinonim dengan burung garuda. Biarpun haiwan gergasi yang boleh terbang itu tidak pernah muncul pada zaman ini, ramai rakyat negara itu percaya tentang kewujudannya.
Garuda sudah lama menjadi simbol negara yang dihuni oleh 237 juta penduduk itu. Lambang dan nama garuda banyak dipakai sebagai cap dagang oleh syarikat mahupun organisasi di sana.
Syarikat penerbangan, Garuda Airways, pusat penginapan popular di Jakarta, Hotel Garuda, penerbitan Majalah Garuda dan logo pusat pengajian tinggi, Universiti Airlangga, Surabaya turut menggunakan simbol garuda.
Selain lambang garuda pada jata negara itu, pasukan bola sepak kebangsaannya juga digelar Tim Garuda sebagai menggambarkan kekuatannya.
Dewa
Walaupun sebilangan masyarakat menganggapnya haiwan mitos, penganut agama Hindu di Indonesia pula mengangkatnya setaraf dewa.
Garuda yang merupakan kenderaan bagi Dewa Wisnu dikatakan memiliki fizikal yang begitu besar sehingga boleh menghalang cahaya matahari, mempunyai sayap dan paruh persis burung helang serta bentuk tubuh seperti manusia.