Pages

Monday, 10 September 2012

Malaysia tuan rumah APEC 2020

Najib bergambar bersama (dari kiri) Presiden Chile, Sebastian Pinera; Aquino, Noda, Clinton; Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan Setiausaha Kewangan Hong Kong, John Tsang pada sidang APEC di Vladivostok, Russia, semalam.  
Najib bergambar bersama (dari kiri) Presiden Chile, Sebastian Pinera; Aquino, Noda, Clinton; Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan Setiausaha Kewangan Hong Kong, John Tsang pada sidang APEC di Vladivostok, Russia, semalam.
 
Sidang Vladivostok terima Deklarasi Kazan tambah makanan dunia

Vladivostok, Russia: Malaysia akan menjadi pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan turutan dan giliran, Malaysia bakal menjadi pengerusi dan tuan rumah bagi mesyuarat yang dianggotai 21 ekonomi di Asia Pasifik itu pada 2020 yang juga tahun paling bermakna bagi negara ini.
Malaysia pernah menjadi pengerusi dan tuan rumah APEC pada 1998. Tahun ini, Russia adalah pengerusi dan tuan rumah, manakala tahun depan Indonesia.




Anjur Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2013

Najib juga berkata, Malaysia diberikan penghormatan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2013 yang bakal mengumpulkan usahawan seluruh dunia.

Permintaan itu dikemukakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ketika pertemuan mereka di sini semalam.

“Clinton mengharapkan Malaysia jadi tuan rumah dan saya menerima pelawaan itu,” katanya sebelum pulang ke tanah air selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selama dua hari.


Jumpa PM Jepun

Selain Clinton, Najib mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda dan Presiden Filipina, Benigno Aquino.

Perdana Menteri berkata, selain membincangkan hubungan perdagangan dua hala, Clinton bertanyakan kemajuan program bantuan pengajaran Bahasa Inggeris yang diberikan AS kepada Malaysia.

“Saya beritahu kesannya adalah amat baik dan akan menghantar laporan lebih terperinci kepada beliau,” katanya.

Najib berkata, Clinton amat tertarik dengan konsep Pergerakan Kesederhanaan Global yang beliau bangkitkan dalam ucapannya di Universiti Oxford dua setengah tahun lalu dan AS mahu bekerjasama dengan Malaysia memajukan lagi konsep berkenaan.

Mengenai mesyuarat APEC, Perdana Menteri berkata, ia banyak bertumpu kepada isu keselamatan makanan dengan mengambil kira bilangan penduduk dunia yang kini mencecah tujuh bilion dan dijangka bertambah kepada 9.3 bilion menjelang 2050.



Deklarasi Kazan

Beliau berkata, berikutan itu beberapa perkara dibincangkan, termasuk menerima Deklarasi Kazan untuk dijadikan hala tuju menentukan langkah wajar menambah pengeluaran makanan sedunia.

Najib berkata, bagi Malaysia, beliau menekankan perlunya faktor kelebihan perbandingan dalam pengeluaran makanan dengan memberikan tumpuan dari segi pelaburan modal, pendidikan, teknologi, benih dan amalan pertanian terbaik kepada negara yang memiliki kelebihan berkenaan.

“Saya juga menekankan mengenai perlunya memberi peluang kepada perkongsian awam dan swasta dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menekankan mengenai perlunya sistem rantaian bekalan bahan makanan dan pertanian dijadikan lebih cekap bagi memastikan petani dan nelayan menerima harga lebih adil dan saksama.

Selain keselamatan makanan, pemimpin APEC turut membincangkan mengenai kepentingan inovasi kerana berpendapat ia satu daripada perkara penting untuk  menjana kekayaan baru. 
bHarian

No comments:

Post a Comment