Pages

Sunday, 9 September 2012

Aku Lelaki, Punya Hati

Sastera muda
Bahagian 1/3
Oleh NAZEERA AGIL
26 tahun, siswazah jurusan pengurusan perhubungan

"I TAHU itu semua cuma alasan you. Kenapa you tidak boleh bersikap jujur dengan I?"
 Nyaring kedengaran suara seorang wanita berusia awal 20-an tahun di satu sudut sebuah restoran.
Aku yang sedang menikmati makan malam sendirian selepas seharian bekerja hanya memerhatikan tingkah laku sepasang kekasih yang sedang bergaduh itu.

Sudah menjadi lumrah sesebuah percintaan. Mesti ada salah faham dan nampaknya pasangan ini juga tidak terkecuali.

 Aku dapat melihat pasangan wanita itu cuba menenteramkan keadaan yang semakin hangat. Suaranya yang perlahan secara tidak langsung telah menyulitkan aku yang kepo ini untuk mendengar butir-butir pembicaraannya.


Namun aku masih dapat lihat raut wajah mereka yang tegang. Si wanita seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan kata-kata atau penjelasan si jejaka.

"I tak faham dengan perangai you. Cuba you terangkan pada I. Ini tidak.
"Semuanya you simpan sendiri. Kenapa suka sangat berahsia dengan I?
"Who am I to you?" kata wanita itu dengan nada kecewa. Namun suaranya masih jelas untuk aku dengar. Kemudian satu keluhan dilepaskan dengan perlahan-lahan.

 Aku yang baru sahaja ingin meneguk secawan kopi hangat sambil menonton drama percuma itu tersentak secara tiba-tiba.
'Who am I to you?' Ayat terakhir yang dilafazkan oleh wanita itu serta-merta membuat nafsu seleraku hilang begitu sahaja.

Soalan yang sama juga pernah diajukan padaku suatu ketika dahulu.
Soalan di mana jawapan yang aku berikan telah membuat semuanya berantakan. Andai sahaja aku bisa mengembalikan semula masa lalu akan aku ubah jawapanku itu.

Namun, semuanya sudah pun berlaku. Aku hanya mampu reda dengan ketentuan yang Maha Esa.
 Fikiranku mula menerawang ke peristiwa yang berlaku kira-kira lima tahun lepas. Hilang sudah keinginanku untuk mengetahui kesudahan cerita pasangan yang sedang bergaduh itu. Di mindaku kini sedang terbayangkan seseorang. Seseorang yang sudah aku hancurkan hatinya. Yang sudah aku ranapkan impiannya. Yang sudah cuba aku lupakan selama ini tetapi masih tidak mampu aku lakukan. Aisyah Nabilah.

 Dia merupakan seorang gadis istimewa yang pernah aku temui. Gadis yang penyabar dan lembut tutur bicaranya. Di dalam kelembutan itu pula tersembunyi satu wawasan, cita-cita dan semangat perjuangan.
Dia tidak pernah kenal erti lelah. Siang bekerja sambilan sebagai seorang pelayan di sebuah kafe dan malam pula dia mengikuti kursus diploma dalam bidang Komunikasi Massa.

Senyuman manis sentiasa terukir di bibirnya. Wajah ayunya itu sentiasa kelihatan tenang dan tidak jelak mata memandang. Dia bukanlah dalam golongan gadis-gadis hot atau gorgeous. Namun dia ayu, manis dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai lelaki tertarik dengan keayuannya itu. Aku juga tidak terkecuali dan tidak akan aku nafikan bahawa dialah yang selama ini bertakhta di hati lelaki.
 Aku berkenalan dengan Aisyah pada 28 Mei 2005 di satu majlis perkahwinan seorang temanku. Aisyah juga merupakan rakan kepada temanku itu. Selepas pertemuan tersebut, kami hanya berhubung melalui telefon. Beberapa bulan kemudian, kami mengambil keputusan untuk bertemu di sebuah restoran makanan segera.

Pertemuan itu diikuti pula dengan pertemuan-pertemuan seterusnya. Boleh dikata setiap hujung minggu kami akan pergi makan bersama kerana makan merupakan salah satu hobi kami berdua. Aku gembira apabila dapat meluangkan masa dengannya.

Aku sering berasa tenang apabila dapat menatap sepasang matanya yang jernih itu. Aisyah merupakan seorang gadis yang pandai menjaga maruah diri selain mempunyai pemikiran matang. Hari-hari yang aku lalui bersamanya sentiasa penuh dengan gelak tawa dan ada sahaja topik-topik hangat yang menjadi bahan pembicaraan kami.

Dalam diam aku mengagumi gadis kecil molek yang berperwatakan simple itu. Tidak dapat aku sangkal bahawa aku sememangnya sudah jatuh hati terhadapnya.

 Namun perhubungan yang berjalan lancar itu hancur berkecai pada suatu hari. Seperti biasa kami berjumpa untuk makan bersama. Sedang kami menikmati hidangan enak yang sudah terhidang di atas meja, tiba-tiba Aisyah mengemukakan satu soalan cepumas.

"Rezky, who am I to you?" Tanya Aisyah perlahan. Aku mengangkat wajahku untuk menatap matanya.
"Dalam banyak-banyak soalan dalam dunia kenapalah soalan ini juga yang diajukan? Isyyy!" desis hatiku.
Mindaku pula mula berputar ligat seperti kereta-kereta Formula 1 di dalam litar perlumbaan. Memang aku sayangkan Aisyah.

Namun aku tidak mahu mengakuinya. Aku takut dengan pengakuan itu, aku akan diikat dan terikat dengan satu perhubungan. Aku tidak mahu dikongkong.
Aku masih mahu bebas keluar berdating dengan gadis-gadis lain. Bak kata pepatah Inggeris there are many fishes in the sea. Aku masih mahu enjoy. Fikir punya fikir akhirnya aku berikan jawapan yang aku rasa adalah terbaik.

"Best friend," jawabku sambil tersenyum. Sebaik sahaja perkataan itu keluar daripada mulutku, aku dapat melihat perubahan pada wajah Aisyah. Kekecewaan jelas terpancar di wajah ayu itu. Matanya mula berkaca namun butir-butir mutiara itu tidak pula jatuh berderaian.

Mungkin Aisyah cuba tidak membiarkan air matanya jatuh di hadapan aku. Matanya yang bersinar dek takungan air matanya itu membuatkan dia kelihatan lebih ayu.
Bersambung...

cyBerita

No comments:

Post a Comment