MAHU ABANG DIIKTIRAF: Encik Abu Bakar bersama 'Jalur Gemilang' dan buku yang mengisahkan abangnya sebagai pencipta bendera kebangsaan Malaysia itu.
- Foto SINAR HARIAN ONLINE
8 Sep 2012
JOHOR BAHRU: Adik lelaki bongsu pencipta bendera kebangsaan 'Jalur Gemilang' Malaysia, Allahyarham Mohamed Hamzah, mahu menuntut wang royalti RM1 juta ($398,450) daripada kerajaan Malaysia setiap tahun, sepanjang tempoh bendera itu dikibarkan di Dataran Merdeka mulai 31 Ogos 1957, kata satu laporan versi dalam talian sebuah akhbar, semalam.
Encik Abu Bakar Hamzah, 77 tahun, berkata walaupun abangnya, yang juga bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, disahkan sebagai pencipta 'Jalur Gemilang' pada 17 Julai 2005, tiada pengiktirafan dan anugerah telah dikurnia oleh kerajaan Malaysia, apatah lagi royalti, lapor Sinar Harian Online, semalam.
"Apabila lihat bendera (Jalur Gemilang) berkibar, hatiku sakit... tidak mengapa satu hari nanti orang akan tahu siapa penciptanya," demikian luahan Allahyarham Mohamed semasa hayatnya kepada Encik Abu Bakar, menurut adik bongsunya itu.
Bait kekesalan itu jelas terpancar di wajah Encik Abu Bakar - anak bongsu daripada 10 beradik keluarga Allahyarham Mohamed - yang juga adalah waris apabila mengenangkan nasib pencipta bendera Malaysia itu, menurut laporan akhbar tersebut.
"Bukan harta kekayaan yang kami inginkan, apatah lagi gelaran untuk disanjung, cukup sekadar abang diiktiraf atas jasa dan sumbangannya.
"Jalur Gemilang diarak sekeliling dunia, dibawa ke angkasa, malah dikibar di Olimpik, mereka mengharumkan nama disanjung dan diberi pengiktirafan, namun jasa abang?
"Saya serik dan sedih dengan janji dan liputan diberikan bagi abang, kini saya tidak mahu berlembut lagi," kata Encik Abu Bakar, yang ditemui Sinar Harian di rumahnya, di Taman Sri Pandan, kelmarin.
"Niat saya hanya satu, duit ini akan saya guna untuk ketenangan abang dengan bina masjid di 14 negeri yang diterjemah menerusi 14 bucu bintang pada Jalur Gemilang yang dinamakan atas nama abang, atau Jalur Gemilang atau nama lebih bersesuaian," kata beliau.
CyBerita
No comments:
Post a Comment