KLIP vdeo filem Innocence of Muslims tidak disekat sepenuhnya di Malaysia.
|
KUALA LUMPUR - Enjin carian internet Google telah menyekat akses klip video filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam daripada ditonton oleh para pelayar laman YouTube di Malaysia sejak semalam.
Bagaimanapun, sekatan itu tidak menyeluruh kerana sehingga lewat malam tadi, pengguna pakej jalur lebar Maxis dan Celcom masih boleh mengakses klip video tersebut melalui telefon bimbit.
Filem tersebut tidak lagi boleh diakses oleh sebahagian pelayar internet setelah pihak Google Malaysia menyekat akses laman YouTube klip video kontroversi tersebut sebagai respons kepada desakan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Sabtu lalu yang mahu Google menarik balik klip video filem kontroversi itu.